Penduduk Malaysia ambil 26 sudu teh gula sehari

Tuesday, March 23, 2010 |

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa penduduk Malaysia adalah pengguna gula ‘tegar’ di Asia Tenggara dengan mengambil 26 sudu teh gula sehari.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, perkara itu amat serius kerana negara ini dilaporkan mempunyai jumlah pesakit diabetes ke-4 tertinggi di rantau Asia kerana jumlah pesakit kencing manis dijangka meningkat kepada 1.3 juta orang menjelang 2010 berbanding 800,000 pesakit pada 2007.

Katanya, kajian CAP turut mendapati 15 peratus rakyat tempatan yang berumur melebihi 30 tahun menghidap diabetes selain mengalami masalah obesiti dan darah tinggi akibat penggunaan gula secara berlebihan dalam kehidupan seharian.

 “Pada 1970-an, rakyat negara ini mengambil 17 sudu teh gula sehari dan meningkat kepada 21 sudu teh pada 1980-an dan kini mencecah 26 sudu teh.

“Di negara ini, lebih 13,000 pesakit buah pinggang yang menghidap diabetes menjalani rawatan dialisis dan lebih mengejutkan enam kes baru strok dilaporkan berlaku setiap jam... kita juga difahamkan empat daripada lima pesakit kencing manis meninggal dunia akibat penyakit jantung.

“Orang ramai terutama mereka yang mengambil gula berlebihan dalam kehidupan seharian mereka perlu sedar bahawa ia (gula) boleh menyebabkan 60 jenis penyakit,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Subbarow berkata, laporan terbaru yang diterima kesatuan itu turut menunjukkan hampir 1,000 tin minuman berkarbonat diminum oleh rakyat negara ini setiap minit.

Beliau berkata, setiap tahun kira-kira tujuh juta orang menghidap diabetes dan penyakit itu dikatakan akan menular secara serius menjelang 2025 dengan sasaran 380 juta orang berbanding 246 juta ketika ini akan mengalami kencing manis.

Katanya, risau dengan penggunaan gula yang semakin meningkat di kalangan rakyat negara ini, CAP bersama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan menganjurkan satu kempen berhubung bahaya gula di ibu negara, bulan depan.

“Kempen ini diadakan selama tiga hari bermula 1 Disember ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam di pusat beli-belah The Mall,” katanya.
Subbarow berkata, pada pameran itu, pengunjung berpeluang melihat lebih 150 sampel bahan makanan yang mengandungi kandungan gula amat tinggi selain diberi senaskhah buku panduan penjagaan kesihatan.

Sumber : Berita Harian Nov 30,2009

0 comments:

Post a Comment