Malaysia sasaran Prudential Al-Wara

Tuesday, March 23, 2010 |

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Syarikat pengurus aset Islam pertama Prudential Plc. (Prudential), Prudential Al-Wara' Asset Management Bhd. (Prudential Al-Wara') yang baru ditubuhkan akan mengukuhkan kedudukan dan membuka peluang besar Malaysia sebagai pusat kewangan Islam di Asia.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Pelaburannya, Zulkifli Ishak berkata, Prudential Al-Wara' ditubuhkan bagi mengurus aset mengikut pematuhan syariah bagi pihak pelabur institusi dan mandat institusi dalam dan luar negara.
Beliau berkata, syarikat itu yakin mampu berkembang dan optimis untuk mencapai prestasi sama seperti yang dicapai oleh industri kewangan Islam di negara ini iaitu sekitar 20 peratus setahun.
"Berdasarkan pengalaman menguruskan sembilan dana Islam di bawah Prudential, kami pernah merekodkan pertumbuhan sebanyak 50 peratus dan ia melebihi prestasi yang dicapai di peringkat industri kewangan Islam di negara ini,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penubuhan perniagaan pengurusan aset Islam pertama di bawah Prudential, Prudential Al-Wara' Asset Management Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Wira Chor Chee Heung.
Hadir pada majlis itu ialah Ketua Eksekutif Kumpulan Prudential Plc, Tidjane Thiam.
Prudential merupakan salah satu penaja jaminan perniagaan baru bagi produk insurans Islam, atau takaful yang terbesar di Asia dengan menjalankan operasi di Malaysia dan Indonesia.
Setakat 30 September lalu, Prudential mencatatkan kutipan dana sebanyak RM1.5 bilion di bawah pengurusannya di Malaysia.
Zulkifli menambah, dalam tempoh setahun pertama, pihaknya membuka peluang pelaburan yang besar kepada pelabur tempatan.
Namun, katanya, pihaknya turut membuka peluang yang luas kepada pelabur luar seperti dari Indonesia, Dubai (Emiriah Arab Bersatu) dan lain-lain.
"Kami mahu tembusi pasaran seluruh dunia dan berkembang dengan pesat di Asia sebagai pengurus aset Islam yang terkemuka,'' ujarnya.
Sementara itu, Thiam berkata, sistem kewangan Islam dijangka berkembang pesat di negara ini dan di Asia berikutan populasi penduduk Islam di dunia yang ramai.
Katanya, Prudential optimis untuk menjalankan perniagaan berasaskan kewangan Islam kerana pasaran yang luas berkenaan.
"Melalui Prudential Al-Wara', perniagaan pengurusan aset secara Islam dijangka tumbuh dengan luar biasa dan menerima sambutan yang amat baik dari seluruh dunia terutamanya di Asia,'' ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment