Kerajaan tidak akan jual IJN

Tuesday, March 23, 2010 |

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak berhasrat untuk menjual kepentingannya dalam Institut Jantung Negara (IJN) kepada pihak luar kerana ia adalah aset yang amat bernilai kepada negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, IJN adalah hak kerajaan yang menjadi kebanggaan rakyat dan aset yang mengharumkan nama negara.

Katanya, mana-mana pihak yang berhasrat membeli IJN diharap mengetepikan sahaja hasrat itu.

“IJN menjadi kebanggaan kepada negara malah doktor yang bertugas di IJN walaupun tidak mendapat gaji lumayan tetapi rela berkorban untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Kita amat menghargai jasa doktor ini dalam menaikkan taraf perkhidmatan kesihatan negara ini. Kita harap mana-mana pihak yang berhasrat untuk membeli IJN boleh memadamkan harapan itu,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Injap Jantung 2009, yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Konglomerat Sime Darby Berhad sebelum ini mengumumkan akan mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam IJN namun hasrat itu terpaksa ditangguhkan kerajaan setelah mendapat tentangan banyak pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri mengumumkan penangguhan berkenaan berkata, rancangan pengambilalihan itu akan dikaji semula dengan mendalam.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pihak yang terlibat dalam kajian itu termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan serta Unit Perancang Ekonomi.

IJN diurus oleh IJN Holdings Sdn Bhd, milik penuh Kementerian Kewangan.

Semasa mengulas perkara sama, Pengerusi IJN, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail berkata, media boleh memainkan peranan untuk tidak menggalakkan mana-mana pihak menanam hasrat untuk membeli pusat jantung berkenaan.

“Semua orang di IJN telah mengorbankan kehidupan mereka untuk rakyat dan tiada sesiapa boleh mengambilnya daripada rakyat,” katanya.

Menyokong aspirasi sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Mohd Azhari Yakub berkata, kejayaan IJN mendapat akreditasi daripada Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) juga telah meningkatkan standard perkhidmatan IJN yang kini setaraf institusi kesihatan di luar negara.

IJN pada minggu lepas telah memperolehi akreditasi itu dan menjadikannya hospital milik kerajaan pertama mendapat pengiktirafan seumpamanya.

Pengiktirafan dan akreditasi daripada JCI yang bertapak di Amerika Syarikat itu menjadi penanda aras kepada tahap kualiti klinikal kepada pesakit asing dan amat penting dalam usaha memajukan industri pelancongan perubatan di negara ini.:

Selain IJN, hanya empat hospital swasta di negara itu mempunyai akreditasi JCI iaitu Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Pusat Perubatan Prince Court, Pusat Perubatan Pantai, Bangsar dan Hospital Adventist Pulau Pinang (PAH).

Setakat ini 61 daripada 134 hospital kerajaan di seluruh negara telah memperoleh pengiktirafan ISO dan 52 telah mendapat akreditasi Malaysian Society For Quality In Health (MSQH).

MSQH adalah program akreditasi hospital yang menjurus kepada kualiti klinikal dan ia dilaksanakan dengan kerjasama antara Kementerian Kesihatan, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan hospital swasta. - Bernama

P/S...macamana la bil perubatan kat IJN kalau dah diambil alih oleh pihak lain...sudah tentunya bil melambung berkali-kali ganda...

0 comments:

Post a Comment