Ejen dan Produk Tonggak Keberkesanan Saluran Pengedaran

Sunday, June 12, 2011 |


Sungguhpun baru lima tahun beroperasi, Prudential BSN Takaful Berhad hari ini muncul antara syarikat takaful paling dinamik di Malaysia.

Digerakkan barisan ejen seramai 10,100 orang (8500 ejen Prudential Assurance Malaysia Berhad and 1600 ejen PruBSN), jauh lebih kecil saiznya berbanding pengendali insurans veteran di pasaran, namun PruBSN pada tahun lalu telah berjaya menguasai 31 peratus pasaran daripada keseluruhan pungutan sumbangan berkala perniagaan baru untuk segment industri Takaful di Malaysia. Selain produk yang inovatif, keberkesanan saluran pengedaran turut memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pencapaian ini.

Sebahagian besar daripada tanggungjawab ini terletak di bahu Wan Mohd Zamzuri, selaku Ketua Pegawai Agensi PruBSN.

“Peranan Ketua Pegawai Agensi ialah membantu memacu jualan syarikat bagi mencapai sasaran jualan yang ditetapkan dengan skop kerja, antaranya, merangka latihan dan garis panduan ejen-ejen kami,” jelas beliau.

Ejen PruBSN dilatih supaya mengambil pendekatan terbuka dan berterus terang dengan pelanggan.

“Ejen kami akan menerangkan dan menjelaskan kepada pelanggan pilihan-pilihan perlindungan yang ada dan akan mencadangkan padanan yang sesuai dengan kemampuan kewangan dan keperluan perlindungan pelanggan itu,” kata beliau sambil menambah kepercayaan adalah teras kejayaan saluran agensi PruBSN.

Keberkesanan saluran pengedaran PruBSN terlihat pada prestasi suku kewangan keempat 2010 apabila ia menguasai 42 peratus pasaran untuk segmen sumbangan berkala yang diperoleh daripada perniagaan baru.

Rangkaian produk di bawah PruBSN meluas dan inovatif. Takafulink umpamanya, adalah satu produk komprehensif, yang telah direka khas bagi membolehkannya digabungkan dengan 34 manfaat tambahan atau pilihan bagi mempertingkatkan perlindungan, simpanan atau pelaburan.

Maka tidaklah hairanlah apabila Takafulink muncul sebagai produk paling berjaya di pasaran dan merupakan produk berkaitan pelaburan yang pertama ditawarkan untuk segment Takaful di Malaysia.
Setakat 31 Mac 2011 pemegang sijil Takafulink mencecah 214,000 orang.

Pada November 2010, PruBSN telah melancarkan satu produk yang inovatif di pasaran, iaitu PruBSN Ummah. Produk ini yang merangkumi segala aspek berkaitan dengan elemen perlindungan dan simpanan serta melengkapi keperluan Haji/ Umrah. Disebabkan ciri-ciri inovatif inilah PruBSN Ummah telah mendapat sambutan memberangsangkan sejak dilancarkan.

“Populariti produk PruBSN adalah kerana ia mengambil kira maklum balas pengguna yang mahukan pelan perlindungan bersesuaian dengan kemampuan, kehendak dan skop perlindungan tambahan yang diperlukan,” kata Wan Mohd Zamzuri.

“Inovasi yang kami perkenalkan membuka lembaran baru dalam industri takaful di negara ini”.

PruBSN juga memberi sokongan menyeluruh kepada ejen-ejennya melalui pelbagai program dan insentif yang dirumus khas. “Kami sentiasa memastikan ejen-ejen kami dilengkapi dengan sokongan yang memudahkan mereka,“ kata Wan Mohd Zamzuri. PruBSN menyediakan untuk ejen-ejennya latihan yang menyeluruh yang merangkumi aspek perniagaan, motivasi, produk dan teknikal.

Selain sokongan yang merangkumi pelbagai aspek, PruBSN juga percaya kepantasan meluluskan permohonan juga penting dalam kelancaran operasi agensi. Oleh kerana itu, PruBSN telah meperkenalkan PruBSNnetz dan

Takafulnet sebagai kemudahan untuk ejen-ejen di bawah naungannya. Dengan PruBSNnetz, kaedah secara dalam talian ini membolehkan permohonan kes baru diluluskan dengan cara electronic untuk menjimatkan masa dan tenaga. Tiada lagi borang permohonan secara fizikal diperlukan dan transaksi boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.
Takafulnet pula merupakan satu kemudahan yang disediakan untuk ejen-ejen PruBSN bagi membolehkan mereka memantau kemajuan mereka secara dalam talian. Takafulnet juga membolehkan ejen-ejen PruBSN memantau butiran pelan produk-produk milik pelanggan-pelanggan mereka. Dengan kemudahan ini juga, ejen PruBSN boleh melihat jika mereka memenuhi sasaran bulanan dan mengambil langkah seterusnya untuk memajukan perniagaan mereka. Takafulnet juga memudahkan transaksi ejen dengan PruBSN dan seterusnya menggalakkan ejen untuk terus menjalankan perniagaan mereka.

Sejak empat bulan lalu, PruBSN telah berjaya memperolehi 38,500 pelanggan baru atau 10,000 pelanggan baru sebulan.

“Wawasan kami ialah menjadikan ejen kami sebagai pusat sehenti menawarkan penyelesaian menyeluruh kepada pelanggan merangkumi perlindungan takaful, simpanan serta pelaburan,” kata Wan Mohd Zamzuri.

0 comments:

Post a Comment