KUALA LUMPUR - Dalam usaha untuk mengembangkan capaian pasaran Prudential BSN Takaful Bhd. (PruBSN), satu memorandum perjanjian persefahaman (MoU) telah ditandatangani bersama Affin Islamic Bank Bhd. (Affin Islamic).
Perjanjian itu memberi akses kepada PruBSN untuk menawarkan produk-produknya termasuk produk baru khas dalam memenuhi keperluan pelanggan Affin Islamic.
Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Azim K. Mithani berkata, pihaknya akan memperkenalkan produk lengkap yang meliputi pengurusan kekayaan, perlindungan, simpanan dan pelaburan.
"Produk pertama yang akan diperkenalkan ialah PruBSN Educate pada Ogos ini dan kami akan menawarkan produk-produk lain berdasarkan keperluan pelanggan Affin Islamic," katanya pada sidang akhbar selepas memeterai MoU bersama Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic, Kamarul Ariffin Mohd. Jamil di sini semalam.
Turut hadir ialah Ketua Eksekutif Insurans Asia Prudential, Tony Wilkey.
PruBSN Educate menyediakan perlindungan kewangan terhadap kematian tidak diduga dan membina dana terkumpul untuk pendidikan.
Ia merupakan satu pelan takaful berkaitan pelaburan yang menyediakan pengembalian tunai atas kematangan dan ibu bapa yang membeli produk itu untuk anak-anak mereka berhak untuk menggunakan sumbangan tersebut untuk tujuan pemotongan cukai.
MoU antara PruBSN dan Affin Islamic adalah untuk tempoh selama lima tahun dan pada masa ini, produk PruBSN akan ditawarkan menerusi lima cawangan Islamik bank tersebut.
Mengulas lanjut, Azim berkata, menerusi kolaborasi itu, ia membuka laluan baru kepada pihaknya untuk mengukuhkan lagi keupayaan pengedaran dalam sektor Takaful Keluarga.